Pages

Letakkan link blog anda di sini

Sunday, March 7, 2010

Selangor Mudah Gigit KEDAH!


SAFEE (kiri) diasak pertahanan Kedah, Khairil Helmi Johari pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam tadi. Selangor menang 4-0.


SELANGOR mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu Liga Super selepas mencatat kemenangan 4-0 ke atas Kedah di Stadium Shah Alam malam tadi.

Beraksi di hadapan kira-kira 10,000 penyokong setia, Selangor ternyata memanfaatkan kelebihan bermain di gelanggang sendiri apabila berjaya menguasai keseluruhan perlawanan.

Jika tidak kerana ketangkasan penjaga gol Kedah, Mohd. Helmi Eliza Elias, tuan rumah terlebih dahulu sudah boleh berada di depan menerusi percubaan kapten, Mohd. Amri Yahya dan juga Mohd. Hardi Jaafar.

Serangan bertali arus Selangor akhirnya membuahkan hasil apabila Mohd. Safee Sali berjaya membuka tirai jaringan dengan satu sepakan voli menarik dari luar kotak penalti pada minit ke-26.

Tiga minit kemudian, Mohd. Amirul Hadi Zainal terus meletakkan Selangor selesa di hadapan dengan jaringannya setelah menerima lorongan cantik daripada Hardi.

Sebaik babak kedua bersambung, Kedah memperkemaskan jentera serangan mereka apabila dilihat melancarkan serangan bertali arus ke arah kubu pertahanan Selangor bagi merapatkan jurang gol.

Namun kekentalan barisan pertahanan Selangor yang diketuai oleh Khairul Anuar Baharom berjaya mengekang setiap asakan pasukan pelawat.

Amri terus menambah derita Kedah apabila meledak gol ketiga pada minit ke-60 setelah melakukan lambungan cantik untuk menewaskan Helmi Eliza.

Amirul Hadi sekali lagi meletakkan namanya selaku penjaring apabila menyumbat gol keempat Selangor minit ke-77.

Kemenangan tersebut membolehkan Selangor kekal di tangga teratas liga dengan mengumpul 22 mata.

Skuad Gergasi Merah itu dijadualkan berdepan dengan Kelantan di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu, Jumaat ini.

sumber: kosmo online

0 comments:

Post a Comment

komen anda sangat bernas!